Posted By admin Posted On

Apakah status agama anak luar nikah? Mahkamah Persekutuan timbang kes Rosliza

PUTRAJAYA: Adakah seseorang boleh dianggap Islam jika dibuktikan anak luar nikah?

Persoalan ini timbul di Mahkamah Persekutuan hari ini dalam kes seorang wanita yang mohon diisytiharkan tidak tertakluk pada bidang kuasa mahkamah syariah kerana menganut ajaran Buddha.

Rosliza Ibrahim mempunyai ayah beragama Islam namun dibesarkan ibunya, seorang penganut ajaran Buddha.

Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan Rosliza tertakluk pada bidang kuasa mahkamah syariah.

Hari ini peguam Rosliza, Gopal Sri Ram, beritahu barisan sembilan hakim Mahkamah Persekutuan bahawa dua mahkamah berkenaan terkhilaf.

Barisan hakim itu merangkumi Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, Rohana Yusuf, Azahar Mohamed, Nallini Pathmanathan, Abdul Rahman Sebli, Zabariah Mohd Yusof, Hasnah Mohammed Hashim, Mary Lim Thiam Suan, dan Rhodzariah Bujang.

Rosliza sebelum ini berkata beliau tidak menjumpai sebarang bukti menunjukkan ibu-bapanya berkahwin secara sah mengikut cara Islam, atau ibunya memeluk Islam.

Pada perbicaraan hari ini, status perkahwinan ibu-bapa Rosliza menjadi tumpuan panel penuh hakim mahkamah tertinggi negara.

Penasihat undang-undang Selangor, Salim Soib @ Hamid berkata Mahkamah Tinggi sebelum ini mendapati ayah Rosliza seorang Islam dan ibunya pengikut Buddha, sekali gus menjadikan Rosliza penganut Islam.

Bagaimanapun Azahar, yang juga hakim besar Malaya, bertanya apakah status Rosliza jika dapatan mahkamah itu salah.

“Jikalau begitu, beliau (Rosliza) adalah anak luar nikah,” jawab Salim.

Salim bagaimanapun berkata Rosliza tetap seorang Islam mengikut undang-undang Selangor, yang menetapkan seseorang itu beragama Islam jika ibu atau bapanya beragama Islam.

Bagaimanapun Tengku Maimun berkata kenyataan Salim itu bercanggah dengan undang-undang syariah, memandangkan seseorang itu hanya boleh disahkan Islam jika ibu-bapanya berkahwin secara sah dan mengamalkan ajaran agama itu.

“Bagaimanakah perayu (Rosliza) boleh dikatakan seorang Islam sedangkan undang-undang syariah menyatakan anak luar nikah akan mengikut agama yang diamalkan ibunya,” tanya Tengku Maimun.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan beritahu mahkamah bahawa Majlis Agama Islam Selangor dan kerajaan negeri bertanggungjawab untuk mengemukakan bukti bagi menolak fakta-fakta yang dikemukakan Rosliza dalam afidavitnya.

Beliau juga bersetuju Rosliza “mengikut agama yang diamalkan ibunya jika beliau dilahirkan luar nikah.”

Peguam Mansor Saat, yang mewakili SUHAKAM, berkata setiap orang harus diberikan kebebasan beragama sebagaimana yang dijamin Perlembagaan.

Panel Mahkamah Persekutuan dalam menentukan rayuan Rosliza, menangani dua persoalan undang-undang. Pertama, sama ada mahkamah sivil mempunyai hak eksklusif menentukan jika seseorang itu Islam mengikut undang-undang.

Satu lagi persoalan ialah sama ada maklumat terkandung dalam kad pengenalan Rosliza adalah bukti muktamad seseorang itu Islam.

Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Comments (0)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *